Saturday, 20 October 2012

KSN 'dari' dan 'daripada'



Assalamualaikum semua...
Cuba anda perhatikan gambar yang telah diambil dari tempat menunggu bas KUO di atas. Apa yang anda nampak? Tak nampak apa-apa? Nampak tajuk sahaja? Baiklah. Sebenarnya dalam gambar tersebut terdapat dua kesalahan bahasa yang digunakan. Kesalahan pertama ialah “Dari wanita untuk wanita” dan kesalahan kedua pula ialah “Bus disediakan”. Hari ni saya hanya akan membincangkan mengenai kesalahan yang pertama sahaja. Kesalahan yang kedua tu pula akan saya bincangkan pada entri blog yang akan datang ye.
            Mengapa ayat ‘Dari wanita untuk wanita’ itu tidak tepat? Hal ini adalah kerana kata sendi nama ‘dari’ hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu. Contohnya:
1.      Kereta itu membelok dari kiri ke kanan.
2.      Awak datang dari mana?
3.      Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi.
Oleh itu, penggunaan kata sendi nama ‘dari’ dalam gambar di atas adalah tidak tepat kerana tidak menunjukkan arah, tempat ataupun masa. Kata sendi nama yang lebih sesuai digunakan ialah ‘daripada’. Kata sendi nama ‘daripada’ ini pula hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda, dan perbezaan atau perbandingan. Contohnya:
1.      Cadangan daripada persatuan kami telah diterima.
2.      Johan mendapat ilham daripada pemandangan itu.
3.      Harga baju itu kurang sedikit daripada harga biasa.
Nampak remeh kan kesalahan tersebut? Tetapi kesalahan yang remeh inilah yang selalu dilakukan secara berulang kali oleh masyarakat hari ini. Saya agak sedih apabila mengenangkan mengenai kesalahan bahasa ini kerana masih terdapat lagi pelajar yang keliru mengenai penggunaan kata sendi nama ‘dari’ dan ‘daripada’ ini. Walhal jika dilihat, penggunaan perkataan ‘dari’ dan ‘daripada’ ini sangat ringkas dan mudah.
Oleh itu, saya berharap agar para pelajar tidak akan mengulangi kesalahan remeh seperti itu lagi dan segera memperbaiki kesalahan tersebut sekiranya kita sudah biasa melakukannya. Jika kita tidak memperbetulkannya pada waktu ini, pasti kita akan terus mengulangi kesalahan tersebut. Sekian. Wassalam.

Friday, 19 October 2012

Alat Muzik Tradisional Melayu


Assalamualaikum...
Semalam saya telah menulis mengenai tarian Melayu. Jadi hari ini saya akan menulis pula mengenai alat muzik. Tidak lengkap rasanya tarian tanpa muzik kan? Ibarat isi dengan kuku. Canggung pula jika sesebuah tarian ditarikan tanpa diiringi oleh alunan muzik yang mengasyikkan. Kali ini saya akan memperkenalkan beberapa alat muzik yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu. Antara alat muzik tersebut ialah gambus, rebab, gong, rebana, serunai, caklempong.

Gambus

Gambus ialah sejenis alat muzik tradisional dari Timur Tengah. Alat muzik ini mempunyai 12 tali tangsi manakala badannya membujur bulat seakan-akan labu air dengan belakangnya yang melengkung. Lehernya ialah persambungan dari badannya. Cara memainkan gambus ini sama seperti bermain gitar. Gambus digunakan semasa persembahan Ghazal atau tarian Zapin.

Rebab

Rebab merupakan alat muzik yang tertua dalam sejarah permainan muzik tradisi Melayu. Rebab juga dikenali sebagai anak umbang dalam kalangan bomoh-bomoh melayu. Pada awalnya, rebab digunakan sebagai alat perubatan tradisi yang disebut sebagai main peteri. Gesekan rebab menjadi penawar kepada pesakit. Perubatan cara ini disokong kuat oleh jampi daripada bomoh.
Bentuk rebab secara kasarnya terbahagi kepada 3 bahagian iaitu pangkal, leher dan kepala. Ukuran tingginya antara 7.55sm hingga 8.5 sm. Alat muzik ini menjadi alat penting dalam persembahan Mak Yong hinggakan dalam persembahan tersebut terdapat satu babak dipermulaannya yang dikenali sebagai menghadap rebab.

Gong

Gong diperbuat daripada besi. Terdapat juga gong yang diperbuat daripada gangsa bercampur timah. Jenis gong yang biasa digunakan dipanggil sebagai tawak-tawak. Gong dimainkan dalam pelbagai persembahan muzik tradisi misalnya dalam persembahan Mak Yong. Gong hanya mempunyai satu permukaan sahaja dan ditengah permukaan tersebut dilekukkan daripada dalam serta membonjol keluar. Gong dipalu dengan kayu berbalut getah dihujungnya dan bunyinya berdengung.

Caklempong

Alat muzik ini diperbuat daripada tembaga atau perunggu. Saiz caklempong kecil. Bentuk caklempong seperti periuk iaitu melengkung ke bawah. Muka caklempong licin. Pada bahagian tengah muka caklempong terdapat satu tombol kecil. Caklempong dimainkan dengan cara menyusunnya sebaris di atas para khas. Kemudian pemain duduk menghadap caklempongdan memalunya dengan menggunakan sepasang kayu pemalu.caklempong dimainkan untuk mengiringi tarian Piring, tarian Lilin, Wayang Kulit dan banyak lagi.

Rebana

Rebana merupakan sejenis gendang satu muka yang berbentuk seperti pasu. Gebana ini diperbuat daripada kayu, kulit kambing, rotan dan buluh. Alat muzik ini berperanan sebagai penyokong irama dengan pola-pola paluan yang dapat dikategorikan kepada irama asas (basic), penambahan (additire), dan menyilang (cross rythmn). Rebana ini sering digunakan untuk dalam tarian Zapin,Joget dan Inang.

Serunai

Serunai ialah sejenis alat muzik tradisi yang perlu ditiup apabila hendak membunyikannya. Alat tiupan ini mempunyai pipit berlapis-lapis. Pelidaknya sebanyak empat lapis diperbuat daripada daun lontar kering. Pemegang pipit ialah tiub ligam yang dipasang pada kemuncak badan serunai. Badan serunai diperbuat daripada kayu keras dalam bentuk kun dengan bahagian bawahnya berbentuk loceng. Badannya boleh diceraikan kepada 3 bahagian. Badan serunai mempunyai tujuh lubang memetik di belakang. Serunai ini digunakan untuk mengiringi wayang kulit, gendang silat dan gendang keling.
Sekian sahaja untuk kali. Semoga anda lebih mengenali alat muzik tradisional kita. Wassalam.

Thursday, 18 October 2012

Asyiknya Tarian Melayu


Assalamualaikum...
Hari ni tergerak hati saya untuk menulis berkaitan tarian melayu setelah melihat persembahan zapin semasa majlis penutup pada persidangan yang saya hadiri semalam.
Di negara ini, terdapat banyak tarian melayu yang telah dibawa masuk dari luar negara oleh orang-orang dahulu atau yang sememangnya berasal dari Malaysia. Antara tarian yang terkenal ialah Mak Yong, Kuda Kepang, Zapin, Tarian Lilin, Tarian Gamelan, dan Joget.

Mak Yong



Tarian Mak Yong yang berasal dari Patanu di Selatan Thailang dicipta untuk hiburan kerabat Diraja wanita, Permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat Diraja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantik serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengusahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu.

Kuda Kepang




Tarian ini dibawa ke negeri Johor oleh pendatang Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam diiringi paluan gendang, gong dan angklung.


Zapin

Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Melayu boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, iaitu sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini diperkrnalkan oleh mubaligh dari timur Tengah pada mulanya digunakan dalam amalan Berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

Tarian Lilin

Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil dan diletakkan di atas telapak tangan mereka. Tarian ini juga memaparkan ferak-geri yang penuh dengan kelembutan.

Tarian Gamelan

Tarian Gamelan in mula dikesan semasa Empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke-17. Tarian ini mula dipersembahkan buat pertama kali di khalayak ramai di Pekan, Pahang dalam tahun 1811 semasa persandingan Tengku Hussain. Tarian ini mula diperkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam mengahwini Tengku Sulaiman yang berasal dari Terengganu.
Menurut Tengku Mariam, pada asalnya tarian ini terdiri daripada 77 jenis Gamelan, tetapi pada hari ini hanya tinggal 33 jenis Gamelan sahaja kesan daripada ketiadaan tenaga pengajar yang mengetahui jenis tarian itu. Tarian yang dipersembahkan secara eksklusif oleh penari wanita ini juga boleh dipentaskan sama ada secara dalaman ataupun persembahan terbuka. Elemen Jawa boleh dilihat dari segi tarian tersebut. Secara estetikanya, tarian ini adalah sangat cantik dan merupakan bentuk tarian yang paling kaya dari segi jenisnya dalam kebanyakan adat tarian Melayu.

Joget

Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah dengan rentak yang agak laju. Tarian ini dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami perbagai usikan. Tarian ini berasal daripada tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.
Nampaknya, sampai sini sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Diharap agar kita akan lebih mencintai budaya Melayu yang sangat indah ini. Sekian. Wassalam.

Pisang Goreng @ Goreng Pisang?


Assalamualaikum semua...

Cuba teka apa yang akan saya tulis untuk entri kali ini. Cara membuat pisang goreng? Salah. Sila cuba lagi. Hehehe...
Kali ini saya akan menulis berkaitan dengan hukum D-M. Hukum D-M tu makanan ke? Bukanlah. Hukum D-M ialah hukum diterangkan-menerangkan. Ish, janganlah kerutkan muka tu. Nanti cepat tua...
            Hukum D-M ialah unsur yang diterangkan perlu hadir pada kedudukan pertama dan unsur yang menerangkan perlu hadir pada kedudukan kedua.
Cuba baca situasi A dan B dibawah. Mana satu yang betul.
Situasi A
A: Kak, goreng pisang seringgit.
B: Seringgit ye. Sekejap.

Situasi B
A: Kak, pisang goreng seringgit.
B: Seringgit ye. Sekejap.

Saya rasa, ramai yang berkata seperti dalam situasi A kan? Sebenarnya, penggunaan perkataan ‘goreng pisang’ dalam situasi di atas adalah salah. Hal ini kerana, perkataan ‘goreng’ merupakan kata kerja. Jadi, ‘goreng pisang’ merujuk orang yang menggoreng pisang. Perkataan yang sesuai ialah ‘pisang goreng’. ‘Pisang goreng’ pula merujuk kepada makanan iaitu pisang yang telah digoreng. Jadi, penggunaan bahasa dalam situasi B lah yang tepat.
Begitu juga dengan perkataan seperti ‘Azie Restoran, Bala Klinik Gigi, dan Mai Salon’. Perkataan yang sebenarnya ialah ‘Restoran Azie, Klinik Gigi Bala, dan Salon Mai’.
Namun begitu, terdapat juga kekecualian hukum D-M, iaitu yang menerangkan mendahului yang diterangkan. Perkara ini berlaku akibat kebiasaan penggunaannya terutama pada nama jawatan, bilangan dan panggilan.
Nama Jawatan
·         Perdana Menteri
·         Naib Presiden
·         Ibu Pejabat
Bilangan
·         Sekawan burung
·         Para tetamu
·         Sepuluh buah buku
Nama panggilan atau gelaran
·         Puan Turia
·         Megat Terawih
·         Si Belang
Semoga kita tidak melakukan kesilapan hukum D-M ini lagi ye. Sekian. Wassalam.

Terima Kasih


Assalamualaikum para pembaca sekalian...
Semoga pembaca blog saya ni sihat selalu ye. Terima kasih kepada kesudian anda membaca entri yang terdapat dalam blog ini.

Perkataan ‘terima’ dan ‘kasih’ seakan mahal harganya untuk dituturkan pada hari ini. Budaya mengucap ‘terima kasih’ ini semakin kurang dilakukan oleh generasi kini. Saya tertarik untuk menulis mengenai budaya terima kasih ini kerana semasa menaiki sebuah bas untuk ke kolej, seorang lelaki india yang kelihatan tidak normal akan mengucapkan perkataan keramat itu apabila ada pelajar yang mahu turun dari bas. Dia akan terus ‘berterima kasih’ sehinggalah orang terakhir yang menuruni bas tersebut. Ada juga pelajar yang luarannya kelihatan sempurna fizikal dan bijak, namun payah untuk mengucapkan kata-kata keramat itu. Tidakkah dia berasa malu dengan manusia yang kurang sempurna tadi? Hanya dirinya sahaja yang tahu jawapannya.

 Berbeza sewaktu saya bersekolah dahulu. Kami dididik untuk mengucapkan terima kasih walau dalam apa jua keadaan atau situasi yang memerlukan kami untuk mengucapkannya. Tahukah anda bahawa ucapan terima kasih mampu membuatkan kita tersenyum? Pemberi hadiah akan tersenyum apabila anda mengucapkan terima kasih kerana mereka berasa bahawa anda sangat menghargai hadiah yang diberikan walaupun harganya tidak mahal. Pemandu kereta juga akan tersenyum apabila anda mengangkat tangan atau menganggukkan kepala kepadanya tanda berterima kasih kerana telah memberikan anda laluan untuk melintas jalan.
Kementerian Malaysia sudah banyak menayangkan iklan-iklan bertemakan terima kasih ini, namun kesedaran masyarakat pada hari ini dilihat amat kurang. Keadaan ini amat membimbangkan kerana budaya ini mencerminkan sikap masyarakat negara ini. Bukankah rakyat Malaysia kaya dengan kesantunan budi bahasanya? Kenapa perkara besar ini dipandang enteng? Bak kata Prof. Izi, “Renung-renungkan dan selamat beramal”.
Semoga perkongsian saya ini dapat membuka mata anda tentang pentingnya budaya berterima kasih ini. Sekian. Wassalam.