Assalamualaikum para
pembaca sekalian...
Semoga pembaca blog
saya ni sihat selalu ye. Terima kasih kepada kesudian anda membaca entri yang
terdapat dalam blog ini.
Perkataan
‘terima’ dan ‘kasih’ seakan mahal harganya untuk dituturkan pada hari ini. Budaya
mengucap ‘terima kasih’ ini semakin kurang dilakukan oleh generasi kini. Saya
tertarik untuk menulis mengenai budaya terima kasih ini kerana semasa menaiki
sebuah bas untuk ke kolej, seorang lelaki india yang kelihatan tidak normal
akan mengucapkan perkataan keramat itu apabila ada pelajar yang mahu turun dari
bas. Dia akan terus ‘berterima kasih’ sehinggalah orang terakhir yang menuruni
bas tersebut. Ada juga pelajar yang luarannya kelihatan sempurna fizikal dan
bijak, namun payah untuk mengucapkan kata-kata keramat itu. Tidakkah dia berasa
malu dengan manusia yang kurang sempurna tadi? Hanya dirinya sahaja yang tahu
jawapannya.
Berbeza sewaktu saya bersekolah dahulu. Kami
dididik untuk mengucapkan terima kasih walau dalam apa jua keadaan atau situasi
yang memerlukan kami untuk mengucapkannya. Tahukah anda bahawa ucapan terima
kasih mampu membuatkan kita tersenyum? Pemberi hadiah akan tersenyum apabila
anda mengucapkan terima kasih kerana mereka berasa bahawa anda sangat
menghargai hadiah yang diberikan walaupun harganya tidak mahal. Pemandu kereta
juga akan tersenyum apabila anda mengangkat tangan atau menganggukkan kepala kepadanya
tanda berterima kasih kerana telah memberikan anda laluan untuk melintas jalan.
Kementerian
Malaysia sudah banyak menayangkan iklan-iklan bertemakan terima kasih ini,
namun kesedaran masyarakat pada hari ini dilihat amat kurang. Keadaan ini amat
membimbangkan kerana budaya ini mencerminkan sikap masyarakat negara ini.
Bukankah rakyat Malaysia kaya dengan kesantunan budi bahasanya? Kenapa perkara
besar ini dipandang enteng? Bak kata Prof. Izi, “Renung-renungkan dan selamat
beramal”.
Semoga
perkongsian saya ini dapat membuka mata anda tentang pentingnya budaya
berterima kasih ini. Sekian. Wassalam.
No comments:
Post a Comment