Friday 26 October 2012

Maaf-Bermaafan


Assalamualaikum...
            Apa khabar semua? Sihat? Semoga anda semua sihat seperti saya hari ni. Entri yang akan saya tulis pada kali ini ialah ‘maaf-bermaafan’. Nilai saling bermaafan sesama insan sangat dituntut dalam semua agama yang berada di dunia ini. Ramai yang menganggap maaf-bermaafan ini hanya berlaku pada hari raya sahaja. Hari-hari lain tidak perlu.
            Saya terfikir mengenai entri kali ini pada pagi Hari Raya Aidiladha tadi. Terdapat sesetengah keluarga yang mengamalkan amalan bermaafan ini bukan sahaja pada hari raya Aidilfitri, bahkan turut diadakan pada hari raya Aidiladha. Saya sangat tertarik dengan perkara itu.
            Pada masa sekarang, begitu susah untuk mendengar ucapan maaf yang lahir dari mulut masyarakat kita pada hari-hari biasa. Tidak tahulah mengapa perkara sebegini boleh terjadi, walhal kita telah diajar untuk mengucapkan perkataan maaf jika melakukan kesilapan. Tidak kiralah kesalahan tersebut besar ataupun kecil. Adakah kerana ego yang tinggi atau mereka menganggap perkara tersebut remeh? Kebiasaannya, perkara yang dianggap remeh ini boleh menjadi lebih besar sehingga sukar diselesaikan.
            Dengan hanya satu perkataan ‘maaf’, hari-hari yang kita lalui akan lebih ceria dan bermakna. Tidak guna duit yang banyak jika hidup dalam suasana kelam. Oleh itu, lafazlah perkataan ‘maaf’ walaupun kita berada di tempat yang betul kerana perkataan tersebut bukan hanya berfungsi untuk meminta kemaafan , malah dilihat juga sebagai tanda merendah diri walaupun kita tidak bersalah. Renung-renungkan lah ye... Wassalam.

Thursday 25 October 2012

Dikir Barat


Assalamualaikum semua...
Hari ni saya akan menulis mengenai dikir barat. Mesti ramai yang tahu apa itu dikir barat kan? Dikir barat ni merupakan satu bentuk nyanyian yang amat popular di kawasan pantai timur, iaitu di Kelantan. Pada kali ini, saya hanya memfokuskan mengenai unsur sindiran yang menggunakan haiwan sebagai perlambangan dalam dikir barat. Terdapat pelbagai jenis haiwan yang digunakan dalam dikir barat antaranya tupai, lintah, itik, buaya dan banyak lagi. Antara penyanyi dikir barat yang popular ialah Halim Yazid dan Cikgu Naim. Cikgu Naim dilihat sangat banyak menggunakan unsur haiwan dalam lagu-lagunya berbanding Halim Yazid.
Sebagai contoh, dalam lagu ‘Anak Tupai’ nyanyian Halim Yazid, tupai merupakan seekor haiwan yang sangat handal melompat antara satu pokok ke pokok yang lain. Sesekali, tupai juga akan jatuh ke tanah. Keadaan ini sangat sesuai dijadikan simbolik kepada manusia yang bersikap angkuh dan sombong. Walau bagaimana hebat sekalipun seseorang itu, mereka tidak akan terlepas daripada melakukan kesilapan seterusnya menerima hukuman atas kesalahan yang mereka lakukan.
Dalam lagu ‘Itik’ dengangan Cikgu Naim pula, beliau membuat perbandingan sikap itik yang suka meninggalkan telurnya di merata-rata tempat. Berbeza dengan ayam yang akan mengeramkan telurnya sehingga telur itu menetas. Hal ini sangat jelas diperkatakan dalam lagu ini iaitu sikap manusia yang sanggup membuang anak yang baru dilahirkan di tepi parit atau longkang.
Sila dengar lagu di bawah ini untuk memahaminya dengan lebih lanjut. Semoga kita mendapat pengajaran daripada lagu-lagu ini. Sekian. Wassalam.



Tuesday 23 October 2012

Kata Penguat Adjektif (Dialek Kedah)


Assalamualaikum…
Petang tadi, saya dan rakan-rakan pergi membeli makanan di sebuah gerai. Dalam perjalanan pulang, tiba-tiba salah seorang daripada rakan saya berkata “manis melecaihnya air ni”. Saya yang hamper dengannya terpinga-pinga. ‘Benda apa kau sebut tadi tu?’ saya bertanya. Barulah saya memahami apa yang dia kata sebentar tadi. Rupa-rupanya ‘manis melecaih’ bermaksud sangat manis.
Sudah banyak kali saya mendengar mengenai kata penguat adjektif dialek Kedah ni, namun baru tergerak hati ini untuk menulis mengenainya. Lihat contoh-contoh yang saya pernah dengar mengenai kata penguat adjektif dalam dialek Kedah di bawah ini.
Kata Penguat Adjektif
Makna / Huraian
Manis melecaih
Makanan yang sangat manis
Besaq gedabak
Sangat besar
Sejuk gedi
Sejuk sangat-sangat
Tawaq hebiaq
Makanan yang tawar atau yang tiada rasa
Merah ang
Merah terang
Panas lit-lit
Sangat panas. Kebiasaannya digunakan pada waktu tengah hari
Hitam merelit
Hitam berkilat
Masin piaang
Makanan yang sangat masin
Kecik konet
Fizikal yang sangat kecil
Tinggi merenjong
Keadaan fizikal yang sangat tinggi

Banyak lagi kata penguat adjektif yang terdapat dalam dialek Kedah. Macam-macam perkara baru yang saya ketahui semasa mengkaji mengenai dialek Kedah ini. Seronok rasanya apabila kita mengetahui serba sedikit mengenai bahasa dan budaya masyarakat lain. Wassalam.

Bus ke??


Assalamualaikum...
Minggu lepas, saya ada menyatakan untuk menulis mengenai kesalahan yang terdapat dalam sebuah gambar kan? Ingat lagi tak? Bagusla kalau ingat. Terdapat dua kesalahan bahasa yang digunakan. Kesalahan pertama ialah “Dari wanita untuk wanita” dan kesalahan kedua pula ialah “Bus disediakan”. Hari ini saya akan memberikan pandangan saya mengenai kesalahan kedua tersebut.


            Pada pandangan peribadi saya, percampuran kod bahasa antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris tersebut sepatutnya tidak berlaku terutama bagi pelajar-pelajar universiti. Penggunaan bahasa sepatutnya diteliti terlebih dahulu semasa membuat sesuatu banner kerana banner tersebut akan digantung di sekitar universiti dan sudah semestinya akan dibaca oleh orang ramai. Mungkin ada yang terlepas pandang mengenai hal tersebut, tetapi bagi pelajar bahasa dan pengkaji bahasa, mereka beranggapan bahawa perkara tersebut sangat memalukan dan menimbulkan rasa kurang senang bagi mereka.

            Saya berharap agar perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi. Pastikan dahulu penggunaan bahasa anda sebelum anda mencetak banner atau apa sahaja yang melibatkan pembacaan orang ramai. Gunalah hanya satu bahasa sahaja agar tiada percampuran kod bahasa. Sekian sahaja untuk kali ini. Wassalam.

Kata Ganda


Assalamualaikum semua...
Sihat tak? Semoga sihat sejahtera selalu ye. Erm,, hari ni saya nak menulis mengenai perkataan yang apabila digandakan menjadi makna yang lain. Kenapa muka berkerut tu? Tak faham ea. Tak mengapa. Sekejap lagi saya akan beri contoh-contoh yang membuatkan anda semua faham ye. Sebenarnya, tajuk pada kali ini saya ambil daripada tugasan saya dalam kursus yang lain. Hehehe...
Berikut merupakan beberapa contohnya.
1.      Hati      = Hati-hati
2.      Orang  = Orang-orang
3.      Langit  = Langit-langit
4.      Angkut = Angkut-angkut
5.      Kuda    = Kuda-kuda
Jika kita fahami, perkataan ‘hati’ bermaksud organ dalam badan yang berwarna perang kemerah-merahan terletak di dalam perut di bahagian hempedu, tetapi setelah digandakan (hati-hati) perkataan tersebut membawa makna yang berbeza iaitu sikap berwaspada.
Begitu juga dengan perkataan ‘orang’ iaitu manusia manakala ‘orang-orang’ pula membawa makna boneka atau patung yang biasanya digunakan untuk menakutkan burung. Perkataan ‘langit’ pula bermaksud lengkung yang tampaknya biru dan melingkungi bumi (Kamus Dewan), manakala apabila digandakan menjadi ‘langit-langit’, perkataan tersebut berubah makna menjadi kain di bahagian atas kelambu atau bahagian sebelah atas rongga mulut.
Langit-langit

Langit
‘Angkut’ pula bermaksud mangangkat atau membawa, manakala bagi perkataan ‘angkut-angkut’, maknanya telah berubah menjadi nama sejenis lebah dalam famili Eumemidae. Perkataan ‘kuda’ pula bermaksud sejenis haiwan. Bagi perkataan ‘kuda-kuda’, maksudnya menjadi sikap siaga dengan kedudukan tubuh dan kaki yang bersedia menerima serangan (dalam seni mempertahankan diri).
Kedudukan kuda-kuda

kuda

Tidak semua perkataan yang apabila digandakan akan menjadi makna yang lain. Contohnya perkataan ‘buku’ membawa maksud helaian kertas berjilid yang berisi tulisan. Manakala perkataan ‘buku-buku’ membawa makna buku yang banyak.
Selain daripada 5 contoh di atas, sebenarnya banyak lagi perkataan yang apabila digandakan memjadi makna yang berbeza. Jika anda nak tahu, cari la sendiri ye. Hehehe... Baiklah, sampai sini dahulu coretan untuk kali ini. Jumpa lagi dalam entri yang akan datang. Wassalam.

Saturday 20 October 2012

KSN 'dari' dan 'daripada'



Assalamualaikum semua...
Cuba anda perhatikan gambar yang telah diambil dari tempat menunggu bas KUO di atas. Apa yang anda nampak? Tak nampak apa-apa? Nampak tajuk sahaja? Baiklah. Sebenarnya dalam gambar tersebut terdapat dua kesalahan bahasa yang digunakan. Kesalahan pertama ialah “Dari wanita untuk wanita” dan kesalahan kedua pula ialah “Bus disediakan”. Hari ni saya hanya akan membincangkan mengenai kesalahan yang pertama sahaja. Kesalahan yang kedua tu pula akan saya bincangkan pada entri blog yang akan datang ye.
            Mengapa ayat ‘Dari wanita untuk wanita’ itu tidak tepat? Hal ini adalah kerana kata sendi nama ‘dari’ hanya digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat atau waktu. Contohnya:
1.      Kereta itu membelok dari kiri ke kanan.
2.      Awak datang dari mana?
3.      Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi.
Oleh itu, penggunaan kata sendi nama ‘dari’ dalam gambar di atas adalah tidak tepat kerana tidak menunjukkan arah, tempat ataupun masa. Kata sendi nama yang lebih sesuai digunakan ialah ‘daripada’. Kata sendi nama ‘daripada’ ini pula hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda, dan perbezaan atau perbandingan. Contohnya:
1.      Cadangan daripada persatuan kami telah diterima.
2.      Johan mendapat ilham daripada pemandangan itu.
3.      Harga baju itu kurang sedikit daripada harga biasa.
Nampak remeh kan kesalahan tersebut? Tetapi kesalahan yang remeh inilah yang selalu dilakukan secara berulang kali oleh masyarakat hari ini. Saya agak sedih apabila mengenangkan mengenai kesalahan bahasa ini kerana masih terdapat lagi pelajar yang keliru mengenai penggunaan kata sendi nama ‘dari’ dan ‘daripada’ ini. Walhal jika dilihat, penggunaan perkataan ‘dari’ dan ‘daripada’ ini sangat ringkas dan mudah.
Oleh itu, saya berharap agar para pelajar tidak akan mengulangi kesalahan remeh seperti itu lagi dan segera memperbaiki kesalahan tersebut sekiranya kita sudah biasa melakukannya. Jika kita tidak memperbetulkannya pada waktu ini, pasti kita akan terus mengulangi kesalahan tersebut. Sekian. Wassalam.

Friday 19 October 2012

Alat Muzik Tradisional Melayu


Assalamualaikum...
Semalam saya telah menulis mengenai tarian Melayu. Jadi hari ini saya akan menulis pula mengenai alat muzik. Tidak lengkap rasanya tarian tanpa muzik kan? Ibarat isi dengan kuku. Canggung pula jika sesebuah tarian ditarikan tanpa diiringi oleh alunan muzik yang mengasyikkan. Kali ini saya akan memperkenalkan beberapa alat muzik yang sering digunakan oleh masyarakat Melayu. Antara alat muzik tersebut ialah gambus, rebab, gong, rebana, serunai, caklempong.

Gambus

Gambus ialah sejenis alat muzik tradisional dari Timur Tengah. Alat muzik ini mempunyai 12 tali tangsi manakala badannya membujur bulat seakan-akan labu air dengan belakangnya yang melengkung. Lehernya ialah persambungan dari badannya. Cara memainkan gambus ini sama seperti bermain gitar. Gambus digunakan semasa persembahan Ghazal atau tarian Zapin.

Rebab

Rebab merupakan alat muzik yang tertua dalam sejarah permainan muzik tradisi Melayu. Rebab juga dikenali sebagai anak umbang dalam kalangan bomoh-bomoh melayu. Pada awalnya, rebab digunakan sebagai alat perubatan tradisi yang disebut sebagai main peteri. Gesekan rebab menjadi penawar kepada pesakit. Perubatan cara ini disokong kuat oleh jampi daripada bomoh.
Bentuk rebab secara kasarnya terbahagi kepada 3 bahagian iaitu pangkal, leher dan kepala. Ukuran tingginya antara 7.55sm hingga 8.5 sm. Alat muzik ini menjadi alat penting dalam persembahan Mak Yong hinggakan dalam persembahan tersebut terdapat satu babak dipermulaannya yang dikenali sebagai menghadap rebab.

Gong

Gong diperbuat daripada besi. Terdapat juga gong yang diperbuat daripada gangsa bercampur timah. Jenis gong yang biasa digunakan dipanggil sebagai tawak-tawak. Gong dimainkan dalam pelbagai persembahan muzik tradisi misalnya dalam persembahan Mak Yong. Gong hanya mempunyai satu permukaan sahaja dan ditengah permukaan tersebut dilekukkan daripada dalam serta membonjol keluar. Gong dipalu dengan kayu berbalut getah dihujungnya dan bunyinya berdengung.

Caklempong

Alat muzik ini diperbuat daripada tembaga atau perunggu. Saiz caklempong kecil. Bentuk caklempong seperti periuk iaitu melengkung ke bawah. Muka caklempong licin. Pada bahagian tengah muka caklempong terdapat satu tombol kecil. Caklempong dimainkan dengan cara menyusunnya sebaris di atas para khas. Kemudian pemain duduk menghadap caklempongdan memalunya dengan menggunakan sepasang kayu pemalu.caklempong dimainkan untuk mengiringi tarian Piring, tarian Lilin, Wayang Kulit dan banyak lagi.

Rebana

Rebana merupakan sejenis gendang satu muka yang berbentuk seperti pasu. Gebana ini diperbuat daripada kayu, kulit kambing, rotan dan buluh. Alat muzik ini berperanan sebagai penyokong irama dengan pola-pola paluan yang dapat dikategorikan kepada irama asas (basic), penambahan (additire), dan menyilang (cross rythmn). Rebana ini sering digunakan untuk dalam tarian Zapin,Joget dan Inang.

Serunai

Serunai ialah sejenis alat muzik tradisi yang perlu ditiup apabila hendak membunyikannya. Alat tiupan ini mempunyai pipit berlapis-lapis. Pelidaknya sebanyak empat lapis diperbuat daripada daun lontar kering. Pemegang pipit ialah tiub ligam yang dipasang pada kemuncak badan serunai. Badan serunai diperbuat daripada kayu keras dalam bentuk kun dengan bahagian bawahnya berbentuk loceng. Badannya boleh diceraikan kepada 3 bahagian. Badan serunai mempunyai tujuh lubang memetik di belakang. Serunai ini digunakan untuk mengiringi wayang kulit, gendang silat dan gendang keling.
Sekian sahaja untuk kali. Semoga anda lebih mengenali alat muzik tradisional kita. Wassalam.

Thursday 18 October 2012

Asyiknya Tarian Melayu


Assalamualaikum...
Hari ni tergerak hati saya untuk menulis berkaitan tarian melayu setelah melihat persembahan zapin semasa majlis penutup pada persidangan yang saya hadiri semalam.
Di negara ini, terdapat banyak tarian melayu yang telah dibawa masuk dari luar negara oleh orang-orang dahulu atau yang sememangnya berasal dari Malaysia. Antara tarian yang terkenal ialah Mak Yong, Kuda Kepang, Zapin, Tarian Lilin, Tarian Gamelan, dan Joget.

Mak Yong



Tarian Mak Yong yang berasal dari Patanu di Selatan Thailang dicipta untuk hiburan kerabat Diraja wanita, Permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat Diraja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantik serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengusahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu.

Kuda Kepang




Tarian ini dibawa ke negeri Johor oleh pendatang Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam diiringi paluan gendang, gong dan angklung.


Zapin

Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Melayu boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, iaitu sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini diperkrnalkan oleh mubaligh dari timur Tengah pada mulanya digunakan dalam amalan Berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

Tarian Lilin

Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil dan diletakkan di atas telapak tangan mereka. Tarian ini juga memaparkan ferak-geri yang penuh dengan kelembutan.

Tarian Gamelan

Tarian Gamelan in mula dikesan semasa Empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke-17. Tarian ini mula dipersembahkan buat pertama kali di khalayak ramai di Pekan, Pahang dalam tahun 1811 semasa persandingan Tengku Hussain. Tarian ini mula diperkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam mengahwini Tengku Sulaiman yang berasal dari Terengganu.
Menurut Tengku Mariam, pada asalnya tarian ini terdiri daripada 77 jenis Gamelan, tetapi pada hari ini hanya tinggal 33 jenis Gamelan sahaja kesan daripada ketiadaan tenaga pengajar yang mengetahui jenis tarian itu. Tarian yang dipersembahkan secara eksklusif oleh penari wanita ini juga boleh dipentaskan sama ada secara dalaman ataupun persembahan terbuka. Elemen Jawa boleh dilihat dari segi tarian tersebut. Secara estetikanya, tarian ini adalah sangat cantik dan merupakan bentuk tarian yang paling kaya dari segi jenisnya dalam kebanyakan adat tarian Melayu.

Joget

Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah dengan rentak yang agak laju. Tarian ini dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami perbagai usikan. Tarian ini berasal daripada tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.
Nampaknya, sampai sini sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Diharap agar kita akan lebih mencintai budaya Melayu yang sangat indah ini. Sekian. Wassalam.

Pisang Goreng @ Goreng Pisang?


Assalamualaikum semua...

Cuba teka apa yang akan saya tulis untuk entri kali ini. Cara membuat pisang goreng? Salah. Sila cuba lagi. Hehehe...
Kali ini saya akan menulis berkaitan dengan hukum D-M. Hukum D-M tu makanan ke? Bukanlah. Hukum D-M ialah hukum diterangkan-menerangkan. Ish, janganlah kerutkan muka tu. Nanti cepat tua...
            Hukum D-M ialah unsur yang diterangkan perlu hadir pada kedudukan pertama dan unsur yang menerangkan perlu hadir pada kedudukan kedua.
Cuba baca situasi A dan B dibawah. Mana satu yang betul.
Situasi A
A: Kak, goreng pisang seringgit.
B: Seringgit ye. Sekejap.

Situasi B
A: Kak, pisang goreng seringgit.
B: Seringgit ye. Sekejap.

Saya rasa, ramai yang berkata seperti dalam situasi A kan? Sebenarnya, penggunaan perkataan ‘goreng pisang’ dalam situasi di atas adalah salah. Hal ini kerana, perkataan ‘goreng’ merupakan kata kerja. Jadi, ‘goreng pisang’ merujuk orang yang menggoreng pisang. Perkataan yang sesuai ialah ‘pisang goreng’. ‘Pisang goreng’ pula merujuk kepada makanan iaitu pisang yang telah digoreng. Jadi, penggunaan bahasa dalam situasi B lah yang tepat.
Begitu juga dengan perkataan seperti ‘Azie Restoran, Bala Klinik Gigi, dan Mai Salon’. Perkataan yang sebenarnya ialah ‘Restoran Azie, Klinik Gigi Bala, dan Salon Mai’.
Namun begitu, terdapat juga kekecualian hukum D-M, iaitu yang menerangkan mendahului yang diterangkan. Perkara ini berlaku akibat kebiasaan penggunaannya terutama pada nama jawatan, bilangan dan panggilan.
Nama Jawatan
·         Perdana Menteri
·         Naib Presiden
·         Ibu Pejabat
Bilangan
·         Sekawan burung
·         Para tetamu
·         Sepuluh buah buku
Nama panggilan atau gelaran
·         Puan Turia
·         Megat Terawih
·         Si Belang
Semoga kita tidak melakukan kesilapan hukum D-M ini lagi ye. Sekian. Wassalam.

Terima Kasih


Assalamualaikum para pembaca sekalian...
Semoga pembaca blog saya ni sihat selalu ye. Terima kasih kepada kesudian anda membaca entri yang terdapat dalam blog ini.

Perkataan ‘terima’ dan ‘kasih’ seakan mahal harganya untuk dituturkan pada hari ini. Budaya mengucap ‘terima kasih’ ini semakin kurang dilakukan oleh generasi kini. Saya tertarik untuk menulis mengenai budaya terima kasih ini kerana semasa menaiki sebuah bas untuk ke kolej, seorang lelaki india yang kelihatan tidak normal akan mengucapkan perkataan keramat itu apabila ada pelajar yang mahu turun dari bas. Dia akan terus ‘berterima kasih’ sehinggalah orang terakhir yang menuruni bas tersebut. Ada juga pelajar yang luarannya kelihatan sempurna fizikal dan bijak, namun payah untuk mengucapkan kata-kata keramat itu. Tidakkah dia berasa malu dengan manusia yang kurang sempurna tadi? Hanya dirinya sahaja yang tahu jawapannya.

 Berbeza sewaktu saya bersekolah dahulu. Kami dididik untuk mengucapkan terima kasih walau dalam apa jua keadaan atau situasi yang memerlukan kami untuk mengucapkannya. Tahukah anda bahawa ucapan terima kasih mampu membuatkan kita tersenyum? Pemberi hadiah akan tersenyum apabila anda mengucapkan terima kasih kerana mereka berasa bahawa anda sangat menghargai hadiah yang diberikan walaupun harganya tidak mahal. Pemandu kereta juga akan tersenyum apabila anda mengangkat tangan atau menganggukkan kepala kepadanya tanda berterima kasih kerana telah memberikan anda laluan untuk melintas jalan.
Kementerian Malaysia sudah banyak menayangkan iklan-iklan bertemakan terima kasih ini, namun kesedaran masyarakat pada hari ini dilihat amat kurang. Keadaan ini amat membimbangkan kerana budaya ini mencerminkan sikap masyarakat negara ini. Bukankah rakyat Malaysia kaya dengan kesantunan budi bahasanya? Kenapa perkara besar ini dipandang enteng? Bak kata Prof. Izi, “Renung-renungkan dan selamat beramal”.
Semoga perkongsian saya ini dapat membuka mata anda tentang pentingnya budaya berterima kasih ini. Sekian. Wassalam.

Saturday 13 October 2012

Ayat Perintah


Assalamualaikum semua...
            Alhamdulillah, hari ini saya diberi kesempatan sekali lagi untuk berkongsi dengan anda mengenai ayat perintah. Saya mendapat ilham untuk menulis tajuk ini kerana saya ada terbaca satu ayat yang jelas kelihatan kesalahannya semasa menjamu selera di sebuah restoran makanan segera. Lupa pula saya nak ambil gambar. Tapi tak mengapa. Saya masih ingat ayat tersebut.
Tolong jangan buang tisu ke dalam mangkuk tandas.

Sebelum itu, saya akan menerangkan mengenai ayat perintah. Ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat ini terbahagi kepada 4 iaitu:
1)      Ayat suruhan.
2)      Ayat larangan.
3)      Ayat silaan.
4)      Ayat permintaan.
AYAT SURUHAN
Bertujuan member perintah atau arahan. Ayat suruhan juga boleh menggunakan partikel –lah untuk melembutkannya di samping menegaskan predikat.  Contoh:
1.      Engkau tunggu dia di sini.
2.      Engkau tunggulah dia di sini.
AYAT LARANGAN
Bertujuan untuk menegah seseorang melakukan sesuatu. Menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah sebelum kata kerja. Boleh juga ditambah dengan partikel –lah untuk melembutkannya. Contoh:
1.      Usah dikenangkan lagi perkara yang lalu.
1.      Usahlah dikenangkan lagi perkara yang lalu.
Terdapat juga ayat larangan bersifat umum yang tidak menggunakan kata larangan. Contoh:
1.      Dilarang merokok.
2.      Ditegah berludah di sini.
AYAT SILAAN
Bertujuan untuk menjemput atau mempersilakan seseorang. Menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput. Ayat boleh dilembutkan dengan penggunaan partikel –lah. Contoh:
1.      Sila datang ke rumah saya.
2.      Silalah datang ke rumah saya,.
AYAT PERMINTAAN
            Bertujuan untuk memohon permintaan atau pertolongan. Menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong. Contohnya:
1.      Minta kamu semua bertenang.
2.      Tolong hantarkan jawapan sebelum pukul 11.00 pagi.
Ayat silaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif sebagaimana yang terdapat dalam jenis ayat larangan. Oleh sebab itu, contoh di bawah dianggap tidak betul.
1.      *Sila jangan merokok.
2.      *Tolong jangan ambil.
3.      *Minta jangan berludah.
Ayat yang betul ialah:
1.      Jangan merokok.
2.      Jangan ambil.
3.      Jangan berludah.
Ayat larangan dapat dilembutkan dengan menggunakan perkataan harap pada bahagian hadapannya seperti:
1.      Harap jangan merokok.
2.      Harap jangan ambil.
3.      Harap jangan berludah.
Ha! Jadi anda nampakkan kesalahan ayat yang saya beri pada awal entri ini. Di harap agar anda dapat menggunakan ayat perintah ini dengan betul.