Friday, 26 October 2012

Maaf-Bermaafan


Assalamualaikum...
            Apa khabar semua? Sihat? Semoga anda semua sihat seperti saya hari ni. Entri yang akan saya tulis pada kali ini ialah ‘maaf-bermaafan’. Nilai saling bermaafan sesama insan sangat dituntut dalam semua agama yang berada di dunia ini. Ramai yang menganggap maaf-bermaafan ini hanya berlaku pada hari raya sahaja. Hari-hari lain tidak perlu.
            Saya terfikir mengenai entri kali ini pada pagi Hari Raya Aidiladha tadi. Terdapat sesetengah keluarga yang mengamalkan amalan bermaafan ini bukan sahaja pada hari raya Aidilfitri, bahkan turut diadakan pada hari raya Aidiladha. Saya sangat tertarik dengan perkara itu.
            Pada masa sekarang, begitu susah untuk mendengar ucapan maaf yang lahir dari mulut masyarakat kita pada hari-hari biasa. Tidak tahulah mengapa perkara sebegini boleh terjadi, walhal kita telah diajar untuk mengucapkan perkataan maaf jika melakukan kesilapan. Tidak kiralah kesalahan tersebut besar ataupun kecil. Adakah kerana ego yang tinggi atau mereka menganggap perkara tersebut remeh? Kebiasaannya, perkara yang dianggap remeh ini boleh menjadi lebih besar sehingga sukar diselesaikan.
            Dengan hanya satu perkataan ‘maaf’, hari-hari yang kita lalui akan lebih ceria dan bermakna. Tidak guna duit yang banyak jika hidup dalam suasana kelam. Oleh itu, lafazlah perkataan ‘maaf’ walaupun kita berada di tempat yang betul kerana perkataan tersebut bukan hanya berfungsi untuk meminta kemaafan , malah dilihat juga sebagai tanda merendah diri walaupun kita tidak bersalah. Renung-renungkan lah ye... Wassalam.

No comments:

Post a Comment