Assalamualaikum...
Semalam saya telah menulis
mengenai tarian Melayu. Jadi hari ini saya akan menulis pula mengenai alat
muzik. Tidak lengkap rasanya tarian tanpa muzik kan? Ibarat isi dengan kuku. Canggung
pula jika sesebuah tarian ditarikan tanpa diiringi oleh alunan muzik yang
mengasyikkan. Kali ini saya akan memperkenalkan beberapa alat muzik yang sering
digunakan oleh masyarakat Melayu. Antara alat muzik tersebut ialah gambus,
rebab, gong, rebana, serunai, caklempong.
Gambus
Gambus ialah sejenis
alat muzik tradisional dari Timur Tengah. Alat muzik ini mempunyai 12 tali
tangsi manakala badannya membujur bulat seakan-akan labu air dengan belakangnya
yang melengkung. Lehernya ialah persambungan dari badannya. Cara memainkan
gambus ini sama seperti bermain gitar. Gambus digunakan semasa persembahan
Ghazal atau tarian Zapin.
Rebab
Rebab merupakan alat
muzik yang tertua dalam sejarah permainan muzik tradisi Melayu. Rebab juga
dikenali sebagai anak umbang dalam kalangan bomoh-bomoh melayu. Pada awalnya,
rebab digunakan sebagai alat perubatan tradisi yang disebut sebagai main peteri.
Gesekan rebab menjadi penawar kepada pesakit. Perubatan cara ini disokong kuat
oleh jampi daripada bomoh.
Bentuk rebab secara
kasarnya terbahagi kepada 3 bahagian iaitu pangkal, leher dan kepala. Ukuran tingginya
antara 7.55sm hingga 8.5 sm. Alat muzik ini menjadi alat penting dalam
persembahan Mak Yong hinggakan dalam persembahan tersebut terdapat satu babak
dipermulaannya yang dikenali sebagai menghadap rebab.
Gong
Gong diperbuat
daripada besi. Terdapat juga gong yang diperbuat daripada gangsa bercampur
timah. Jenis gong yang biasa digunakan dipanggil sebagai tawak-tawak. Gong dimainkan
dalam pelbagai persembahan muzik tradisi misalnya dalam persembahan Mak Yong. Gong
hanya mempunyai satu permukaan sahaja dan ditengah permukaan tersebut
dilekukkan daripada dalam serta membonjol keluar. Gong dipalu dengan kayu
berbalut getah dihujungnya dan bunyinya berdengung.
Caklempong
Alat muzik ini diperbuat
daripada tembaga atau perunggu. Saiz caklempong kecil. Bentuk caklempong
seperti periuk iaitu melengkung ke bawah. Muka caklempong licin. Pada bahagian
tengah muka caklempong terdapat satu tombol kecil. Caklempong dimainkan dengan
cara menyusunnya sebaris di atas para khas. Kemudian pemain duduk menghadap
caklempongdan memalunya dengan menggunakan sepasang kayu pemalu.caklempong dimainkan
untuk mengiringi tarian Piring, tarian Lilin, Wayang Kulit dan banyak lagi.
Rebana
Rebana merupakan
sejenis gendang satu muka yang berbentuk seperti pasu. Gebana ini diperbuat
daripada kayu, kulit kambing, rotan dan buluh. Alat muzik ini berperanan
sebagai penyokong irama dengan pola-pola paluan yang dapat dikategorikan kepada
irama asas (basic), penambahan (additire), dan menyilang (cross rythmn). Rebana ini sering
digunakan untuk dalam tarian Zapin,Joget dan Inang.
Serunai
Serunai ialah sejenis
alat muzik tradisi yang perlu ditiup apabila hendak membunyikannya. Alat tiupan
ini mempunyai pipit berlapis-lapis. Pelidaknya sebanyak empat lapis diperbuat
daripada daun lontar kering. Pemegang pipit ialah tiub ligam yang dipasang pada
kemuncak badan serunai. Badan serunai diperbuat daripada kayu keras dalam
bentuk kun dengan bahagian bawahnya berbentuk loceng. Badannya boleh diceraikan
kepada 3 bahagian. Badan serunai mempunyai tujuh lubang memetik di belakang. Serunai
ini digunakan untuk mengiringi wayang kulit, gendang silat dan gendang keling.
Sekian sahaja untuk kali. Semoga anda lebih mengenali alat muzik tradisional kita. Wassalam.