Sunday, 30 September 2012

Dalam VS Di Dalam


Assalamualaikum semua...

Hari Khamis lepas, saya telah pulang ke kampung halaman saya di Kluang, Johor. Suka sangat dapat balik kampung. Kawan-kawan jangan cemburu ye...

Masa di kampung, saya ada terbaca sebuah novel. Erm, rasanya tak perlu saya nyatakan tajuk novel tu di sini. Semasa membaca, saya ada terperasaan mengenai penggunaan perkataan “di dalam”. Dalam novel tersebut ada tertulis “ Iman hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala mendengar aku berbicara di dalam bahasa Indonesia”.

Setahu saya, perkataan ‘dalam’ dan ‘di dalam’ mempunyai perbezaan yang ketara. Perkataan ‘dalam’ digunakan bagi merujuk jarak atau lingkungan yang tidak mempunyai ruang manakala perkataan ‘di dalam’ pula merujuk lingkungan yang mempunyai ruang. Oleh itu, ayat yang sepatutnya digunakan dalam novel tersebut adalah “Iman hanya tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepala mendengar aku berbicara dalam bahasa Indonesia”.

Antara contoh penggunaan perkataan ‘di dalam’ ialah di dalam rumah, di dalam kereta dan di dalam almari.

Sebenarnya, kekeliruan ini selalu juga terjadi kepada saya. Walaupun telah diterangkan tentang penggunaan perkataan-perkataan tersebut, kadang kala saya masih lagi silap menggunakan perkataan-perkataan tersebut dalam pertuturan. Saya berharap agar entri saya pada kali ini akan menghilangkan kekeliruan anda berkaitan penggunaan perkataan ‘dalam’ dan ‘di dalam’. Semoga bertemu dalam entri yang seterusnya. Assalamualaikum.

No comments:

Post a Comment