Saturday, 6 October 2012

di


Assalamualaikum...
Pada kali ini, saya akan menulis berkaitan dengan penggunaan perkataan ‘di’. Baru-baru ini, saya ada terlihat satu papan tanda seperti di bawah.
Awas! Pembinaan sedang di laksanakan.

            Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat. Kata sendi nama ini ditulis terpisah daripada kata nama atau frasa nama yang mengikutinya. Contohnya, di sekolah.
            Berdasarkan penerangan di atas, apa perkara yang boleh kita kaitkan dengan gambar di atas? Jika diperhatikan pada gambar tersebut, perkataan ‘di lakukan’ dieja terpisah sedangkan kata sendi nama di dieja terpisah sekiranya berada di hadapan kata nama atau frasa nama.
            Sepatutnya, perkara ini tidak boleh berlaku. Hal ini kerana perkataan tersebut boleh mempengaruhi cara ejaan seseorang terutama pelajar. Mereka akan terkeliru kerana di sekolah, guru mengajar lain dan apa yang mereka lihat pula lain. Lebih buruk lagi jika mereka beranggapan bahawa apa yang dipaparkan pada papan tanda itu adalah betul. Mereka akan menggunakannya dalam peperiksaan sekaligus menyebabkan markah mereka dipotong.
Oleh itu, kita sepatutnya menggunakan ayat atau struktur bahasa Melayu yang betul walau dalam apa jua situasi. Sekiranya tidak pasti tentang sesuatu ejaan, kita boleh merujuk kamus atau orang yang lebih arif tentang bahasa. Di harap agar pihak-pihak yang terlibat akan segera memperbetulkan kesalahan ejaan tersebut. Jika tidak, selamanya kita akan menggunakan ejaan yang salah.
Sekian. Wassalam...

"aku-engkau" vs "saya-awak"


Situasi 1: Ali, aku nak keluar makan. Kau nak ikut tak?
Situasi 2: Ali,saya hendak keluar makan. Awak hendak ikut?

Assalamualaikum...
Apa agaknya perkara yang anda rasa saya akan tulis selepas anda membaca contoh situasi di atas? Ayat skema? Ayat Kasar? Cuba la teka... hehe..
            Sebenarnya, saya hendak menulis mengenai kata ganti nama. Tetapi saya hanya memfokuskan mengenai kata ganti nama aku, saya, engkau dan awak. Cuba kita ingat balik apabila kali pertama mahu berbual dengan orang yang tidak dikenali. Adakah kita terus menggunakan perkataan aku dan engkau? Munkin ada yang menggunakan perkataan tersebut tetapi melalui pemerhatian saya, kebanyakan orang akan menggunakan perkataan saya dan awak pada kali pertama perbualan.
            Teringat dulu semasa mula-mula mendaftar diri di kolej kediaman. Saya sendiri menggunakan perkataan ‘saya-awak’ dengan rakan sebilik. Iyalah... Baru kali pertama bertegur sapa, mestilah segan sikit. Cakap pun sopan je... Bila dah kenal dengan lebih rapat, baru saya menggunakan perkataan ‘aku-engkau’. Tapi kawan saya orang utara, jadi dia guna ‘aku-ang’ la.. hehehe...
            Berdasarkan situasi yang saya alami, saya merasakan bahawa penggunaan perkataan ‘aku-engkau’ menunjukkan bahawa kita sudah selesa dan lebih rapat dengan seseorang. Kita tidak berasa kekok untuk bercakap atau bergurau senda berbanding penggunaan ‘saya-awak’. Ada juga yang memang telah terbiasa dengan penggunaan perkataan ‘saya-awak’ walaupun dengan orang yang rapat dengannya, namun tidaklah sebanyak orang yang menggunakan ‘aku-engkau’.
            Tetapi, janganlah pula kita menggunakan perkataan ‘aku-engkau’ dengan ibu bapa, suami, atau isteri. Tidak sopan dan kelihatan seperti agak kurang ajar jika kita menggunakan perkataan tersebut. Panggillah mereka dengan panggilan yang sepatutnya. Panggilan yang kedengaran lembut dan sopan. Bukan kah orang Malaysia kaya dengan budi bahasa? Jadi panggillah seseorang atau gunalah kata ganti nama yang sesuai untuk seseorang itu agar mereka berasa selesa untuk berbual dengan kita. Ingat ye..
            Wassalam...

Kata Sapaan


Assalamualaikum semua...
Semasa di dalam kelas, pensyarah saya telah membincangkan perkara yang berkaitan dengan kata sapaan. Saya baru tersedar akan perkara tersebut. Baiklah, saya akan berikan dua contoh.
  1.  “Kak, nasi lemak bungkus satu”.
  2. “Bang, beli buah bang. Sekilo 3 ringgit”.

Kita sering mendengar atau mengungkap ayat-ayat tersebutterutamanya di pasar malam. Perkara tersebut adalah salah. Sepatutnya, kata sapaan yang sesuai ialah:
  1. “Cik, nasi lemak bungkus satu”.
  2.  “Encik, beli buah encik. Sekilo 3 ringgit”.

Walaupun kelihatah remeh, namun perkara tersebut boleh menjejaskan penggunaan bahasa Melayu yang betul. Saya juga sering menggunakan kata sapaan yang salah itu kerana saya beranggapan apabila kita menggunakan perkataan seperti kak, adik, dan bang, kita akan berasa lebih dekat dengan mereka. Begitu juga dengan penjual-penjual tersebut. Mereka mahu pelanggan rasa seperti hubungan mereka dekat. Dengan itu, para pelanggan akan datang membeli sesuatu di gerai mereka. Itu merupakan salah satu strategi yang digunakan oleh peniaga. Namun, setelah mengetahui bahawa penggunaan kata sapaan tersebut salah, saya cuba untuk menggunakan kata sapaan yang betul walaupun kedengaran agak janggal.
Oleh itu, saya berharap agar penggunaan kata sapaan yang betul ini akan digunakan bagi menggantikan penggunaan kata sapaan yang salah dalam pertuturan kita seharian. Sekian. Wassalam...

Batu Bersurat


Assalamualaikum...
Saya baru balik daripada Pusat Manuskrip Melayu. Di sana, saya ada terlihat replika Batu Bersurat Terengganu yang menggunakan tulisan jawi. Tergerak pula hati ini untuk berkongsi mengenai batu bersurat. Anda ingat tak lagi batu-batu bersurat yang telah menggunakan bahasa Melayu? Ha,,, ingat lagi tak. Bagi sesiapa yang masih kabur lagi tu, jomlah baca apa yang saya tulis ni ye.
Batu bersurat yang awal dipercayai ditulis pada kira-kira abad ke-7. Terdapat lima buah batu bersurat yang telah dijumpai pada waktu tersebut. Walaupun menggunakan bahasa Melayu kuno, namun tulisan yang digunakan ialah tulisan Palava dan Nagiri. Batu bersurat yang menggunakan tulisan Palava ialah Batu Bersurat Kedukan Bukit (683M), Batu Bersurat Talang Tuwo (684M), Batu Bersurat Kota Kapur (686M), dan Batu Bersurat Karang Brahi (692M). Hanya satu sahaja batu bersurat yang menggunakan tulisan Nagiri iaitu Batu Bersurat Gandasuli (832M).
Selain daripada lima buah batu bersurat tersebut, terdapat batu bersurat lain yang dipercayai ditulis menggunakan bahasa Melayu klasik iaitu kira-kira abad ke-14. Antaranya ialah Batu Bersurat Pagar Ruyung (1356) dan Batu Bersurat Minye Tujuh (1380). Kedua-dua batu bersurat ini menggunakan tulisan Kawi. Kedua-dua batu bersurat ini telah menunjukkan bahawa pengaruh Islam telah mula diterima kerana terdapat beberapa perkataan Arab.
Batu bersurat yang dipercayai telah memperlihatkan pengaruh agama Islam telah diterima dengan meluas ialah Batu Bersurat Sungai Teresat Terengganu (1393). Keseluruhan tulisan yang terdapat pada batu bersurat tersebut telah menggunakan tulisan Jawi.
Selepas membaca tulisan saya ini, saya rasa anda sudah ingat kembali mengenai batu bersurat. Jadi, setakat ini dahulu saya menulis mengenai batu bersurat. Kita jumpa lagi ye dalam tulisan-tulisan saya yang akan datang. Wassalam.

Pinjaman Oh Pinjaman


Assalamualaikum...
Dah lama rasanya tak menulis dalam blog ni kan? Hari ni saya hendak menulis berkenaan dengan perkataan asing yang telah diterima dalam bahasa Melayu atau bahasa pinjaman.
·         Program Transformasi Negara

            Tentu kita semua pernah mendengar ayat di atas bukan? Sebenarnya, sejak dahulu lagi, banyak perkataan dalam bahasa Melayu telah menerima atau meminjam perkataan asing untuk dijadikan sebagai perkataan dalam bahasa Melayu. Ada juga yang menerima imbuhan daripada bahasa asing tersebut. Antara bahasa asing yang digunakan ialah bahasa Inggeris, bahasa Arab, bahasa Sanskrit bahasa Portugis dan sebagainya.
            Hal ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu bersifat sederhana dan mudah menerima pengaruh luar. Sebelum kewujudan kerajaan Sriwijaya, bahasa Melayu kuno dikatakan mengalami perkembangan yang gemilang kerana sistem bahasanya yang lebih mudah berbanding bahasa Jawa. Selain itu, bahasa Melayu kuno lebih sederhana sifatnya dan mudah menerima pengaruh luar. Bahasa Melayu kuno juga tidak terikat kepada perbezaan susun lapis masyarakat.
Di bawah ini saya sertakan contoh perkataan yang mempunyai kata imbuhan daripada bahasa asing..
  • Bahasa Sanskrit:                                                                                
    • Mahaguru, dwibahasa, pascasiswazah, seniman, ilmuwan, biduanita, sukarelawati

  • Bahasa Arab-Parsi
    •  Biadab, duniawi, alamiah, hadirin, qariah.
  • Bahasa Yunani-Latin-Inggeris
    • Proaktif, antisosial, autonomi, subgolongan, hidrolisis, klinikal, revolusi, realisme.

Contoh perkataan pinjaman daripada bahasa Portugis
  • ·         Baldi, bola, beranda, tembakau, tuala, jendela, bangku, sepatu, palsu, armada.

Banyak lagi contoh perkataan yang menerima imbukan daripada bahasa asing ini. Kalau saya tulis semua, rasanya sampai minggu depan pun tak siap lagi blog saya ni. Hehehe... baiklah, semoga anda mendapat sedikit sebanyak info berkaitan perkataan pinjaman dalam ruangan blog saya kali ini. Jumpa lagi. Wassalam...

Sunday, 30 September 2012

Bahasa SMS


Assalamualaikum... Kita bersua lagi dalam entri terbaru saya iaitu bahasa SMS. Mesti anda semua tahu mengenai bahasa SMS atau bahasa singkatan ini. Bahasa SMS atau Short Messaging Service ini sudah menjadi fenomena dalam masyarakat di seluruh dunia yang menggunakan telefon bimbit atau laman sesawang seperti ‘facebook’, ‘myspace’ dan ‘twitter’. Bukalah mana-mana laman sesawang tersebut, pastinya akan terdapat ayat-ayat bahasa SMS ini.
            Penggunaan ringkasan tulisan dilihat tiada salahnya, namun kita perlulah tahu membataskan tulisan yang hendak diringkaskan. Terdapat tulisan perkataan-perkataan ringkas yang telah dipersetujui antaranya:
*      Yang – yg
*      Kampung – kg.
*      Sungai – sg.
*      Kepada – kpd
*      Lawan – lwn
*      Sebagai – sbg
*      Dalam – dlm
Banyak lagi perkataan-perkataan ringkas yang telah dipersetujui. Oleh itu, janganlah kita menggunakan perkataan-perkataan yang sukar difahami semasa menulis seperti:
*      Kita – itew, kitew
*      Saya – syew
*      Sayang – cayang
*      Rasa – asew
*      Suka - sukew
Contoh perkataan di atas dilihat semakin banyak digunakan oleh remaja terutamanya remaja perempuan. Kadang-kadang, saya rasa geli untuk membaca ayat-ayat yang ditulis dengan menggunakan perkataan tersebut. Mungkin bagi mereka tulisan-tulisan seperti itu kelihatan manja namun saya berasakan bahawa penulis ayat-ayat tersebut ialah seorang yang manja, gedik dan mengada-ngada walaupun hakikatnya mereka tidaklah begitu. Maaf jika ada yang terasa hati.
Penggunaan bahasa SMS yang terlalu kerap juga menyebabkan ada kalangan pelajar yang menggunakan tulisan tersebut dalam karangan mereka. Mereka tidak sedar bahawa mereka telah menulis bahasa SMS ini dalam karangan. Perkara tersebut amat membimbangkan guru-guru terutama guru yang mengajar karangan kerana penggunaan tulisan ringkas dalam karangan adalah salah. Pelajar akan kehilangan markah dan sekali gus menyebabkan markah keseluruhan bagi subjek tersebut menjadi sedikit.
Sekali lagi saya ingin memohon maaf jika ada yang terasa dengan entri ini. Ini adalah pandangan peribadi saya sahaja. Akhir kata, saya berharap agar kita dapat menggunakan tulisan ringkasan dengan sebaiknya supaya informasi yang ingin disampaikan akan berjaya diperoleh oleh pembaca.
Sekian, wassalam...

Kata Pemeri


Assalamualaikum...
Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda mengenai kata pemeri kerana baru-baru ini adik saya telah menanyakan perbezaan antara ‘ialah’ dan ‘adalah’. Saya tahu ramai yang terkeliru mengenai kata pemeri. Tahukan apa itu kata pemeri? Menurut Tatabahasa Dewan, kata pemeri ialah unsur yang menjadi pemeri hal atau perangkai antara subjek dengan fasa-fasa utama dalam predikat.
Kata pemeri terbahagi kepada dua, iaitu ‘ialah’ dan ‘adalah’.
Penggunaan kata pemeri ‘ialah’ hadir di hadapan frasa nama.
·         Contoh ayat:
1.      Bahasa Melayu ialah bahasa rasmi negara Malaysia.
2.      Antara perkara yang menyebabkan remaja terjebak dengan gejala sosial ialah pengaruh rakan sebaya.
Penggunaan kata pemeri ‘adalah’ pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.
·         Contoh ayat:
1.      Makanan seimbang adalah baik unuk kesihatan.
2.      Sumbangan besar beliau adalah dari segi peningkatan ekonomi rakyat luar bandar.
Namun, kata pemeri ini tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja.
·         Contohnya:
1.      * Adalah diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
2.      * Adalah diisytiharkan bahawa anda merupakan pemenang bagi hadiah ini.
Kedua-dua ayat yang bertanda bintang (*) di atas merupakan contoh ayat yang salah. Ayat yang seharusnya ialah:
1.      Dengan hormatnya diberitahu bahawa sekolah akan ditutup esok.
2.      Dengan ini diisytiharkan bahawa anda merupakan pemenang bagi hadiah ini.
Saya berharap agar entri pada kali ini dapat member manfaat kepada anda semua. Jumpa lagi dalam tulisan yang akan datang. Wassalam.