Thursday, 18 October 2012

Asyiknya Tarian Melayu


Assalamualaikum...
Hari ni tergerak hati saya untuk menulis berkaitan tarian melayu setelah melihat persembahan zapin semasa majlis penutup pada persidangan yang saya hadiri semalam.
Di negara ini, terdapat banyak tarian melayu yang telah dibawa masuk dari luar negara oleh orang-orang dahulu atau yang sememangnya berasal dari Malaysia. Antara tarian yang terkenal ialah Mak Yong, Kuda Kepang, Zapin, Tarian Lilin, Tarian Gamelan, dan Joget.

Mak Yong



Tarian Mak Yong yang berasal dari Patanu di Selatan Thailang dicipta untuk hiburan kerabat Diraja wanita, Permaisuri serta puteri sewaktu ketiadaan kerabat Diraja lelaki. Tarian ini menggabungkan drama romantik serta tarian dan nyanyian tradisional dengan gaya yang menawan, yang mengusahkan zaman kegemilangan kesultanan Melayu.

Kuda Kepang




Tarian ini dibawa ke negeri Johor oleh pendatang Jawa. Para penari menggunakan kuda kepang untuk menggambarkan kisah kejayaan perjuangan suci Islam diiringi paluan gendang, gong dan angklung.


Zapin

Pengaruh Islam ke atas tarian tradisional Melayu boleh dilihat dengan ketara dalam tarian Zapin, iaitu sebuah tarian yang terkenal di negeri Johor. Tarian ini diperkrnalkan oleh mubaligh dari timur Tengah pada mulanya digunakan dalam amalan Berzikir yang bertujuan menyebarkan pengetahuan mengenai sejarah tamadun Islam.

Tarian Lilin

Sebuah tarian yang dipersembahkan oleh penari wanita sambil menatang lilin di dalam piring kecil dan diletakkan di atas telapak tangan mereka. Tarian ini juga memaparkan ferak-geri yang penuh dengan kelembutan.

Tarian Gamelan

Tarian Gamelan in mula dikesan semasa Empayar Riau dan Lingga dalam kurun ke-17. Tarian ini mula dipersembahkan buat pertama kali di khalayak ramai di Pekan, Pahang dalam tahun 1811 semasa persandingan Tengku Hussain. Tarian ini mula diperkenalkan di Terengganu selepas Tengku Mariam mengahwini Tengku Sulaiman yang berasal dari Terengganu.
Menurut Tengku Mariam, pada asalnya tarian ini terdiri daripada 77 jenis Gamelan, tetapi pada hari ini hanya tinggal 33 jenis Gamelan sahaja kesan daripada ketiadaan tenaga pengajar yang mengetahui jenis tarian itu. Tarian yang dipersembahkan secara eksklusif oleh penari wanita ini juga boleh dipentaskan sama ada secara dalaman ataupun persembahan terbuka. Elemen Jawa boleh dilihat dari segi tarian tersebut. Secara estetikanya, tarian ini adalah sangat cantik dan merupakan bentuk tarian yang paling kaya dari segi jenisnya dalam kebanyakan adat tarian Melayu.

Joget

Tarian yang paling terkenal di Malaysia ini adalah sebuah tarian yang meriah dengan rentak yang agak laju. Tarian ini dipersembahkan oleh pasangan penari dengan gerak-geri pantas yang disulami perbagai usikan. Tarian ini berasal daripada tarian tradisi Portugis yang diperkenalkan di Melaka sewaktu era perdagangan rempah di situ.
Nampaknya, sampai sini sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Diharap agar kita akan lebih mencintai budaya Melayu yang sangat indah ini. Sekian. Wassalam.

Pisang Goreng @ Goreng Pisang?


Assalamualaikum semua...

Cuba teka apa yang akan saya tulis untuk entri kali ini. Cara membuat pisang goreng? Salah. Sila cuba lagi. Hehehe...
Kali ini saya akan menulis berkaitan dengan hukum D-M. Hukum D-M tu makanan ke? Bukanlah. Hukum D-M ialah hukum diterangkan-menerangkan. Ish, janganlah kerutkan muka tu. Nanti cepat tua...
            Hukum D-M ialah unsur yang diterangkan perlu hadir pada kedudukan pertama dan unsur yang menerangkan perlu hadir pada kedudukan kedua.
Cuba baca situasi A dan B dibawah. Mana satu yang betul.
Situasi A
A: Kak, goreng pisang seringgit.
B: Seringgit ye. Sekejap.

Situasi B
A: Kak, pisang goreng seringgit.
B: Seringgit ye. Sekejap.

Saya rasa, ramai yang berkata seperti dalam situasi A kan? Sebenarnya, penggunaan perkataan ‘goreng pisang’ dalam situasi di atas adalah salah. Hal ini kerana, perkataan ‘goreng’ merupakan kata kerja. Jadi, ‘goreng pisang’ merujuk orang yang menggoreng pisang. Perkataan yang sesuai ialah ‘pisang goreng’. ‘Pisang goreng’ pula merujuk kepada makanan iaitu pisang yang telah digoreng. Jadi, penggunaan bahasa dalam situasi B lah yang tepat.
Begitu juga dengan perkataan seperti ‘Azie Restoran, Bala Klinik Gigi, dan Mai Salon’. Perkataan yang sebenarnya ialah ‘Restoran Azie, Klinik Gigi Bala, dan Salon Mai’.
Namun begitu, terdapat juga kekecualian hukum D-M, iaitu yang menerangkan mendahului yang diterangkan. Perkara ini berlaku akibat kebiasaan penggunaannya terutama pada nama jawatan, bilangan dan panggilan.
Nama Jawatan
·         Perdana Menteri
·         Naib Presiden
·         Ibu Pejabat
Bilangan
·         Sekawan burung
·         Para tetamu
·         Sepuluh buah buku
Nama panggilan atau gelaran
·         Puan Turia
·         Megat Terawih
·         Si Belang
Semoga kita tidak melakukan kesilapan hukum D-M ini lagi ye. Sekian. Wassalam.

Terima Kasih


Assalamualaikum para pembaca sekalian...
Semoga pembaca blog saya ni sihat selalu ye. Terima kasih kepada kesudian anda membaca entri yang terdapat dalam blog ini.

Perkataan ‘terima’ dan ‘kasih’ seakan mahal harganya untuk dituturkan pada hari ini. Budaya mengucap ‘terima kasih’ ini semakin kurang dilakukan oleh generasi kini. Saya tertarik untuk menulis mengenai budaya terima kasih ini kerana semasa menaiki sebuah bas untuk ke kolej, seorang lelaki india yang kelihatan tidak normal akan mengucapkan perkataan keramat itu apabila ada pelajar yang mahu turun dari bas. Dia akan terus ‘berterima kasih’ sehinggalah orang terakhir yang menuruni bas tersebut. Ada juga pelajar yang luarannya kelihatan sempurna fizikal dan bijak, namun payah untuk mengucapkan kata-kata keramat itu. Tidakkah dia berasa malu dengan manusia yang kurang sempurna tadi? Hanya dirinya sahaja yang tahu jawapannya.

 Berbeza sewaktu saya bersekolah dahulu. Kami dididik untuk mengucapkan terima kasih walau dalam apa jua keadaan atau situasi yang memerlukan kami untuk mengucapkannya. Tahukah anda bahawa ucapan terima kasih mampu membuatkan kita tersenyum? Pemberi hadiah akan tersenyum apabila anda mengucapkan terima kasih kerana mereka berasa bahawa anda sangat menghargai hadiah yang diberikan walaupun harganya tidak mahal. Pemandu kereta juga akan tersenyum apabila anda mengangkat tangan atau menganggukkan kepala kepadanya tanda berterima kasih kerana telah memberikan anda laluan untuk melintas jalan.
Kementerian Malaysia sudah banyak menayangkan iklan-iklan bertemakan terima kasih ini, namun kesedaran masyarakat pada hari ini dilihat amat kurang. Keadaan ini amat membimbangkan kerana budaya ini mencerminkan sikap masyarakat negara ini. Bukankah rakyat Malaysia kaya dengan kesantunan budi bahasanya? Kenapa perkara besar ini dipandang enteng? Bak kata Prof. Izi, “Renung-renungkan dan selamat beramal”.
Semoga perkongsian saya ini dapat membuka mata anda tentang pentingnya budaya berterima kasih ini. Sekian. Wassalam.

Saturday, 13 October 2012

Ayat Perintah


Assalamualaikum semua...
            Alhamdulillah, hari ini saya diberi kesempatan sekali lagi untuk berkongsi dengan anda mengenai ayat perintah. Saya mendapat ilham untuk menulis tajuk ini kerana saya ada terbaca satu ayat yang jelas kelihatan kesalahannya semasa menjamu selera di sebuah restoran makanan segera. Lupa pula saya nak ambil gambar. Tapi tak mengapa. Saya masih ingat ayat tersebut.
Tolong jangan buang tisu ke dalam mangkuk tandas.

Sebelum itu, saya akan menerangkan mengenai ayat perintah. Ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Ayat ini terbahagi kepada 4 iaitu:
1)      Ayat suruhan.
2)      Ayat larangan.
3)      Ayat silaan.
4)      Ayat permintaan.
AYAT SURUHAN
Bertujuan member perintah atau arahan. Ayat suruhan juga boleh menggunakan partikel –lah untuk melembutkannya di samping menegaskan predikat.  Contoh:
1.      Engkau tunggu dia di sini.
2.      Engkau tunggulah dia di sini.
AYAT LARANGAN
Bertujuan untuk menegah seseorang melakukan sesuatu. Menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah sebelum kata kerja. Boleh juga ditambah dengan partikel –lah untuk melembutkannya. Contoh:
1.      Usah dikenangkan lagi perkara yang lalu.
1.      Usahlah dikenangkan lagi perkara yang lalu.
Terdapat juga ayat larangan bersifat umum yang tidak menggunakan kata larangan. Contoh:
1.      Dilarang merokok.
2.      Ditegah berludah di sini.
AYAT SILAAN
Bertujuan untuk menjemput atau mempersilakan seseorang. Menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput. Ayat boleh dilembutkan dengan penggunaan partikel –lah. Contoh:
1.      Sila datang ke rumah saya.
2.      Silalah datang ke rumah saya,.
AYAT PERMINTAAN
            Bertujuan untuk memohon permintaan atau pertolongan. Menggunakan kata permintaan seperti minta dan tolong. Contohnya:
1.      Minta kamu semua bertenang.
2.      Tolong hantarkan jawapan sebelum pukul 11.00 pagi.
Ayat silaan biasanya tidak membawa pengertian yang negatif sebagaimana yang terdapat dalam jenis ayat larangan. Oleh sebab itu, contoh di bawah dianggap tidak betul.
1.      *Sila jangan merokok.
2.      *Tolong jangan ambil.
3.      *Minta jangan berludah.
Ayat yang betul ialah:
1.      Jangan merokok.
2.      Jangan ambil.
3.      Jangan berludah.
Ayat larangan dapat dilembutkan dengan menggunakan perkataan harap pada bahagian hadapannya seperti:
1.      Harap jangan merokok.
2.      Harap jangan ambil.
3.      Harap jangan berludah.
Ha! Jadi anda nampakkan kesalahan ayat yang saya beri pada awal entri ini. Di harap agar anda dapat menggunakan ayat perintah ini dengan betul.

Kata Penguat


Assalamualaikum...
Apa khabar semua? Alhamdulillah. Saya sihat Cuma badan penat sikit la. Lenguh-lenguh badan ni. Mana tak lenguh. Pagi tadi ada ujian pukulan servis panjang dan servis pendek dalam kelas badminton. Petang pula ronda-ronda Tanjung Malim. Sekarang ni baru terasa kesannya. Bercakap mengenai kelas badminton, selepas ujian saya ada terdengar perbualan rakan sekelas saya.
A: Aku dah buat yang paling baik la tu, tapi tak lepas juga.
B: Ala,, kan dia tengok pukulan 5 terbaik.
            Cuba anda perhatikan perkataan yang saya tebalkan di atas. Apa yang anda rasa mengenai tajuk entri saya kali ini? Betul. Kata penguat.
Apa itu kata penguat? Kata penguat ialah perkataan yang mendahului atau mengikuti frasa atau kata adjektif dan berfungsi menguatkan maksud yang terkandung dalam kata atau frasa adjektif.
            Terbahagi kepada 3 iaitu kata penguat hadapan, belakang dan bebas.
KATA PENGUAT HADAPAN
            Terletak di hadapan frasa atau kata adjektif. Contohnya, terlalu, paling, agak, cukup, makin, dan kurang. Contoh ayat:
1.      Harga emas makin mahal.
2.      Julia merupakan pelajar yang paling pandai.
3.      Air sungai itu agak deras.
KATA PENGUAT BELAKANG
            Terletak di belakang frasa atau kata adjektif. Contohnya, sekali, benar, betul, dan nian. Contoh ayat:
1.      Laju benar Ahmad menunggang motosikal.
2.      Kelakuannya baik sekali.
3.      Indah nian permandangan di puncak bukit ini.
KATA PENGUAT BEBAS.
            Terletak di hadapan atau di belakang kata adjektif. Contohnya, amat, sangat dan sungguh. Contoh ayat:
1.      Padang itu sangat luas.
2.      Padang itu luas sangat.
Baiklah, semua dah fahamkan? Jadi, saya hendak mengakhiri tulisan pada kali ini dengan pesanan agar anda semua dapat menggunakannya dengan betul dalam kehidupan seharian. Sekian, wassalam.

senyum. tak perlu kata apa-apa.


Assalamualaikum...
Anda semua sihat? Semoga anda melalui hari-hari yang ceria. Jangan lupa senyum ye. Bukan ke senyum itu sedekah? Jadi, banyak-banyaklah kita bersedekah. Tentu ceria hidup. Walau bagaimanapun penat setelah lama bekerja, senyumlah kerana senyuman anda bukan sahaja dapat menenangkan diri sendiri, malah orang di sekeliling kita juga. Tak luak pun jika kita selalu tersenyum. Lagi orang suka adalah.

Sebenarnya, saya baru terkena dengan seorang wanita ni. Bukan sekali, tetapi dua kali. Semasa saya dan rakan-rakan hendak mengambil sijil dekan di fakulti, kakitangan yang menjaga sijil kami tiada di bilik tersebut. Yang ada hanyalah rakan sejawatannya. Dengan muka yang tiada segaris senyuman, dia hanya mengatakan bahawa rakannya keluar. Kali kedua, dengan muka yang sama juga, dia menyuruh kami menunggu di luar sebentar kerana katanya rakannya itu hanya keluar sebentar. Agak lama menunggu, kamu pun pulang kerana selepas itu kami ada kuliah lain. Masa tu, rasa terbakar juga la hati ni. Dah la cuaca agak panas waktu itu. Ditambah pula dengan cara kakitangan tersebut. Mungkin dia penat kot. Tetapi, tidak bolehkah dia mengukir sedikit senyuman pada wajah cantiknya itu? Bukan ke banyak iklan nilai-nilai murni disiarkan di kaca televisyen? Kenapa tidak dipraktikkan. Rakyat Malaysia kan penuh dengan nilai-nilai murni. Erm, takpe la. Semoga dia akan berubah. Insyaallah.
Jadi rakan-rakan sekalian, senyumlah selalu ye. Baru berseri-seri wajah tu. Apa orang kata? Awet muda gitu. Hehe... Baiklah, kita jumpa lagi ye. Ingat! Senyum selalu. Wassalam.

Friday, 12 October 2012

Jom Belajar Tanda Baca


Assalamualaikum...

            Sihat tak semua pembaca blog saya ni? Harap-harap sihat la ye.  Erm, anda semua nak tahu, semasa saya berada dalam kelas kajian manuskrip, saya dapati penggunaan tanda baca dalam manuskrip-manuskrip lama ini sangat kurang. Ada juga manuskrip yang tiada tanda baca. Jenuhlah saya dan rakan-rakan cuba membaca dan mengelaskan ayat-ayat tersebut dalam bentuk ayat lengkap. Jika hasil tulisan pada masa sekarang, kita mudah untuk membaca sesuatu penulisan itu kerana terdapat tanda nokhtah yang menandakan pengakhiran sesuatu ayat. Jadi, terlintas dalam fikiran saya untuk menulis mengenai tanda baca untuk entri blog kali ini. Jom kita lihat jadual di bawah.

TANDA BACA
FUNGSI
Titik/Nokhtah (.)
1.      Melengkapkan ayat.
·         Abu budak baik.
2.      Kependekan nama.
·         U.T.M
3.      Selepas setiap nombor senarai tanpa tanda kurung.
·         1. Jangan tidur di dalam surau.
4.      Memisahkan ringgit dan sen.
·         RM 22.50
5.      Menunjukkan tanda perpuluhan.
·         99.9 peratus
6.      Tanda berhenti.
·         Pisahkan.
7.      Menulis tarikh.
·         16.11.1990
Koma (,)
1.      Tanda berhenti sekejap dalam penulisan.
·         Untuk berjaya, seseorang itu perlu gigih berusaha.
2.      Menggantikan kata hubung yang digugurkan.
·         Beliau mempunyai sikap yang tegas, berani dan adil.
3.      Menunjukkan angka ribu dan juta.
·         100,000
4.      Memisahkan tempat atau bulan daripada tahun.
·         Dia tinggal di Kluang, Johor.
5.      Menandakan pengguguran sesuatu ubsur di dalam ayat.
·         Ayah suka menonton berita, ibu pula, drama bersiri.
6.      Digunakan selepas penanda wacana di permulaan ayat.
·         Walau bagaimanapun, dia akan terus berusaha.
7.      Memisahkan bahagian yang bertentangan maksudnya dalam satu ayat.
·         Saya menyuruh kamu buat latihan, bukan buat bising.
 
Sempang (-)
1.      Menulis kata ganda.
·         Bukit-bukau
2.      Merangkaikan huruf besar dengan huruf kecil.
·         anti-Amerika
3.      merangkaikan ke dengan angka.
·         ke-2
4.      menunjukkan tahun dengan akhiran –an.
·         Tahun 70-an
5.      Menunjukkan perkataan yang terputus.
·         Dia terkejut apabila diberitahu bapanya bahawa ibu-
nya pengsan.
Titik bertindih (:)
1.      Menyenaraikan sesuatu perkara.
·         Para peserta diingatkan supaya membawa barang-barang ini: pakaian, lampu picit, tuala, dan sabun.
2.      Memisahkan surah dan ayat.
·         Surah 6:18
3.      Menandakan masa
·         Masa terpantas pelari jarak jauh itu ialah 1:04:43
4.      Menulis nisbah.
·         1:100
Koma bertindih (;)
1.      Sebagai unsur kaitan antara dua ayat.
·         Di perpustakaan, Mei Ling membaca surat khabar; rakan-rakannya membuat ulang kaji.
Tanda soal (?)
1.      Digunakan pada akhir ayat tanya.
·         Kamu sudah makan?
Tanda seru (!)
1.      Digunakan pada akhir ayat seru.
·         Wah, cantiknya baju kamu!
2.      Digunakan pada akhir ayat suruhan, silaan, permintaan dan larangan yang mengundang unsur perasaan,
·         Keluar dari bilik ini!
Tanda petik (“...”)
1.      Menunjukkan cakap ajuk.
·         Ani berkata kepaa ibunya, “Ibu, Ani lapar”.
2.      Menonjolkan sesuatu kata atau frasa dalam ayat.
·         Para remaja suka menggunakan kata “cun”.
3.      Menunjukkan judul atau tajuk sesuatu.
·         Sajak “Gadis Kecil” ditulis oleh Osman Awang.
4.      Menunjukkan kata pinjaman.
·         Gambar itu sudah saya “upload” dalam blog.
Tiga titik (...)
1.      Menunjukkan bahagian yang tidak lengkap atau digugurkan.
·         Pada suatu hari, saya ...

 

            Di harap agar kalian semua dapat menggunakan tanda baca yang betul dalam apa jua bentuk penulisan. Sekian sahaja untuk kali ini. Wassalam.